Orang yang tidak ada rasa bertuhan, tidak beradab dengan Tuhan
Tidak rasa bertuhan ertinya lalai dengan Tuhan
Jika rasa bertuhan sudah tidak ada, tidak rasa lagi Tuhan berkuasa
Tidak lagi rasa Tuhan mendengar, melihat, mengetahui tentang dirinya
Orang yang tidak rasa bertuhan, dia tidak jadikan Tuhan kawannya
Orang yang macam ini bolehkah menjaga dirinya?
Tidak mungkin boleh menjaga diri kerana tidak ada tempat yang dia takut
Kalau mendapat kesusahan dengan siapa hendak mengadu?
Alangkah terseksanya tidak ada tempat hendak mengadu di waktu kesusahan
Jika ada masalah, tanggung sendiri, siapa yang hendak menyelesaikan masalah dirinya?
Bila mendapat kejayaan atau kekayaan, terasa pula luar biasa
Megah pun tiba, sombong pun berbunga, ingin mendapat nama pun mula ada
Apabila mendapat kuasa, rasa bertuhan tidak ada, dirilah tuhan
Dia akan berbuat sesuka hati, mengikut rasa
Berdendam, menindas, menzalim, menghukum sesuka hati
Menggunakan kuasa, mengikut rasa terhadap musuh-musuhnya
Bertindak sewenang-wenangnya kepada sesiapa sahaja, terutama lawannya
Di waktu lemah, orang lain pula berkuasa dia pula dianiaya
Kecewa pun tiba, jiwa menderita akhirnya putus asa
Kerana di waktu itu tidak rasa lagi ada yang Maha Kuasa
Yang akan membelanya, atau melindunginya
Begitulah orang yang tidak ada rasa bertuhan di dalam kehidupannya
Diri sendirilah yang hendak memikirkan diri sendiri
Mana mampu, kerana makhluk bukan ada kuasa
oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi